IPOH: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menjalin kerjasama dengan tujuh syarikat swasta yang beroperasi di Perak dengan melibatkan pelaburan berjumlah lebih RM1 bilion.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerjasama itu bakal mewujudkan lebih 700 peluang pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Perak mengambil langkah proaktif bagi merancakkan ekonomi negeri melalui pembangunan strategik, rangsangan pelaburan dan program memperkasakan rakyat bagi menangani impak pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan NCIA dalam menggerakkan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Selaku pihak pembangunan wilayah yang menangani impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi, NCIA telah membentangkan pendekatan strategi serampang tiga mata yang menyarankan tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta serta memperkasakan rakyat,” katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian Komitmen Pelaburan Negeri Perak melibatkan tujuh syarikat dengan NCIA yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jebasingam Issace John di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata tujuh syarikat yang melabur di Perak mempunyai perancangan masa panjang dan melihat potensi di negeri ini bagi membantu mereka meluaskan perniagaan.
“Semua syarikat di seluruh negara terkesan dari segi pendapatan akibat pandemik Covid-19 tetapi setiap syarikat yang melabur hari ini tentunya mengambil kira semua ini sebelum membuat keputusan untuk menandatangani dokumen komitmen untuk membuat pelaburan di Perak,” katanya.- Bernama