KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd menggalakkan pelanggan untuk memanfaatkan platform perkhidmatan maya Virtual Account Opening (VAO) yang membolehkan mereka membuka akaun bank yang terpilih secara dalam talian mengikut keselesaan mereka.
Dalam kenyataan, bank itu berkata, ia termasuk Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard dan Akaun Pelaburan Al-Awfar.
Penyelesaian mudah yang disediakan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan, pada masa sama, menjimatkan kos serta bersifat mesra alam kerana tidak melibatkan penggunaan kertas.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Kemudahan pembukaan akaun secara maya ini bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada pelanggan, pada masa sama, ia juga berperanan dalam membentuk industri perbankan masa depan.
“Sejak pelancaran VAO pada Februari 2018, kami telah menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun melalui platform ini setiap bulan, dan pelanggan tidak perlu menghabiskan masa mereka untuk menunggu dan membuat pendaftaran akaun baharu di kaunter.
“Didorong dengan permintaan tinggi pasaran, kami merancang untuk mengintegrasikan fungsi VAO ke dalam aplikasi mudah alih GO by Bank Islam dalam masa terdekat. Nantikan perkembangan inovasi digital kami seterusnya yang bakal memberikan lebih nilai kepada pelanggan.”
VAO telah merevolusasikan prosedur pembukaan akaun tradisional yang biasanya melibatkan masa yang lama di cawangan.
Menerusi VAO, pelanggan hanya perlu mengisi e-borang yang boleh didapati di laman sesawang https://vao.bankislam.com.my/.
Setelah maklumat lengkap dihantar, pelanggan hanya perlu hadir ke cawangan Bank Islam pilihan. Mereka tidak perlu beratur untuk melengkapkan proses pengesahan pembukaan akaun.
Pada masa depan, bank akan memperkenalkan ciri-ciri tambahan yang tidak memerlukan pelanggan hadir secara bersemuka bagi melengkapkan proses pembukaan akaun melalui VAO.
Usaha ini diyakini dapat memberi nilai tambah kepada pelanggan sedia ada dan menarik lebih banyak pelanggan baharu.
Pengenalan fungsi baharu ini dijangka akan diperkenalkan seawal suku ketiga 2020, yang akan melibatkan perapian proses sedia ada.
Penambahbaikan ini dijangka menjana peningkatan pesat dalam jumlah pendaftaran pelanggan secara dalam talian.
“Menerusi VAO, Bank Islam sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan dan seiring dengan trend digital masa kini.
“Justeru, kami sentiasa berinovasi bagi menggiatkan inisiatif peka pelanggan, mewujudkan perkhidmatan perbankan yang lebih mudah, bijak dan fleksibel demi manfaat pelanggan kami. Ini merupakan usaha yang amat penting dalam mendepani impak COVID-19,” kata Mohd Muazzam.- Bernama