SEREMBAN: Dua persatuan bersama kelab media dan sebuah saluran berita swasta semalam memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan usahasama bagi merancak dan mempromosikan industri agropelancongan di negeri ini.
Pada majlis tersebut, Persatuan Pelancongan Negeri Sembilan (NSTA) diwakili Pengerusinya, Alex Chin Lip Fatt, Datuk Nika Raja Roslizam Ramli selaku Pengerusi Persatuan Promosi Negeri Sembilan (PRONES), Pengerusi Kelab Media Negeri Sembilan (MANIS), Arfi Ahmad dan Ketua Wilayah Live 24 News Channel, S. Manimaran.
Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan dan Pengarah Pelancongan, Seni dan Budaya negeri, Siti Mazlina Maidin.
Siti Mazlina ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata melalui MoU berkenaan, sebuah pusat sehenti iaitu Agro Bazar Nogori turut diwujudkan, bertujuan untuk mengumpul seberapa ramai pengusaha pertanian di seluruh negeri ini selain memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai produk pertanian.
“Setakat ini ia telah menarik minat seramai 30 pengusaha. PRONES dan Starfesh Agro Park telah menyediakan satu platform bagi pengusaha memasarkan produk-produk berasaskan pertanian.
Ini merupakan program yang baik dalam menggalakkan lagi industri agropelancongan di Negeri Sembilan selain daripada produk pelancongan yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata Agro Bazar Nogori yang terletak di Starfesh Agro Park, Jalan Bukit Putus, Seremban akan beroperasi pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, 7.30 hingga 11.30 pagi. – Bernama