KUCHING: Pustaka Negeri Sarawak akan menganjurkan tiga pertandingan yang terbuka kepada orang awam secara percuma sempena sambutan Hari Sarawak 2020 yang diraikan pada 22 Julai lalu.
Menurut kenyataan Pustaka semalam, pertandingan yang bakal dianjurkan adalah Pertandingan Video Singkat (Telefon Pintar) Sarawak Cemerlang 2020.
Orang awam dijemput untuk menyertai dan menyerlahkan kreativiti serta aspirasi Sarawak Cemerlang iaitu kecemerlangan Sarawak dalam pelbagai bidang khususnya di peringkat negara ataupun antarabangsa menerusi penyediaan video singkat mereka.
Peserta dikehendaki menyediakan satu video singkat yang menjurus kepada satu bidang yang diminati. Misalnya dalam bidang pendidikan, sukan, “gaming”, seni dan sebagainya.
Tarikh pertandingan adalah bermula pada 30 Julai hingga 23 Ogos depan.
Turut dianjurkan oleh Pustaka ialah Pertandingan Sketches Hari Sarawak bertemakan Sarawak Cemerlang yang terbuka untuk orang awam.
Hasil karya yang diciptakan perlu mengenai kecemerlangan Sarawak dalam pelbagai bidang khususnya di peringkat negara ataupun antarabangsa bermula yang akan bermula pada 26 Julai hingga 23 Ogos depan.
Selain itu, Pustaka juga turut menganjurkan Pertandingan Penulisan Penyelidikan Sejarah yang terbuka kepada orang ramai yang bertemakan penyelidikan sejarah negeri Sarawak.
Pertandingan tersebut akan bermula pada 1 Ogos hingga 31 Ogos depan.
Orang awam yang berminat perlu sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai pertandingan Penulisan Penyelidikan Sejarah ini di laman web Pustaka Negeri Sarawak dan sosial media Pustaka.
Ketiga-tiga pertandingan adalah percuma kepada semua warganegara Malaysia yang bermastautin atau beralamat di Sarawak sahaja.
Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat, orang ramai boleh mengunjungi pautan https://www.pustaka– sarawak.com/document_uploaded/ 1595472089.pdf.
Hadiah utama adalah Mac Book Air 13 inci bagi Pertandingan Video Singkat, Huawei MediaPad M3 Lite 8 bagi Pertandingan Sketches Hari Sarawak dan Huawei Matebook 13 Touch Screen bagi Pertandingan Penulisan Penyelidikan Sejarah.
Sementara hadiah lain masing-masing menerima Hadiah Pertama yang bernilai RM 500 sebanyak 5 pemenang, Hadiah Kedua (RM 400 x 5), Hadiah Ketiga (RM 300 x 5) Hadiah Keempat (RM 200 x 5) dan Hadiah Sagu hati (RM 100 x 5)
Untuk sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Nur Amanina Matani (01114008208) dan Nur Faziella Syazmeen Hasli (013- 3829169).
Oleh Diyana Samsuddin