SIBU: Penularan kes pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kuching dan Samarahan turut memberi kesan kepada jumlah penumpang bas ekspres dari Sibu-Kuching.
Menurut Penasihat Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak, Lau Khing Seng, berikutan itu Syarikat Bas Lanang miliknya menangguhkan sementara perjalanan dari Sibu ke Kuching sejak 6 Julai lalu.
“Jumlah penumpang yang melakukan perjalanan dari Sibu ke Kuching mencatatkan penurunan secara drastik berikutan peningkatan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan di kedua-dua bahagian terbabit,” jelasnya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berharap keadaan akan bertambah baik berikutan peningkatan kes pandemik berbahaya itu telah mempengaruhi jumlah penumpang dan perjalanan bas dari Sibu ke Kuching.
“Pada 5 Julai lalu, hanya dua penumpang sahaja yang melakukan perjalanan dari Sibu ke Kuching menaiki Syarikat Bas Lanang dan itulah sebabnya saya terpaksa menangguhkan dahulu perjalanan bas dari Sibu ke Kuching sejak 6 Julai lalu,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya lagi, perjalanan bas dari Sibu ke Bintulu dan Miri setakat ini masih belum terjejas.
Katanya, lebih buruk lagi apabila Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) tidak mengalakkan perjalanan antara daerah berikutan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Kuching dan Samarahan.
Oleh Akun Giman