KUCHING: Rakyat Sarawak diingatkan untuk terus sentiasa mengamalkan cara hidup yang bersih dan selamat bagi mengekang penularan Covid-19, kata Menteri Kanan Infrastruktur (Kerja Raya), Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau turut berharap rakyat Sarawak melakukan yang terbaik dalam mengelakkan diri berada dalam kawasan yang sesak.
“Kes Covid-19 di Sarawak terutamanya di Daerah Kuching dan Samarahan semakin meningkat.
“Oleh itu, saya mohon agar semua mengamalkan cara hidup yang bersih dan selamat.
“Jangan lupa untuk mencuci tangan selalu dalam masa lebih kurang 20 saat,” ujarnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau semalam.
Beliau berkata, jika rakyat tidak memandang serius hal ini, ekonomi negara sudah pasti akan terkena impak yang lebih teruk.
“Kehidupan kita dan semua juga akan terkesan seperti pendapatan harian kita.
“Kita tidak mahu rakyat kita melalui saat-saat begini. Oleh itu saya amat berharap semua orang memberi kerjasama penuh dalam memerangi waban Covid-19 ini.
“Keputusan yang kita lakukan hari ini akan membentuk hasil untuk keesokan harinya,” ujarnya sambil menggesa rakyat Malaysia untuk kekal dalam keadaan yang selamat.
Oleh Alexandra Lorna