KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menggesa anggota ekonominya agar lebih terbuka terhadap cadangan Deklarasi Memudahkan Pergerakan Barang-Barang Penting untuk merancakkan perdagangan serantau.
Deklarasi itu mencadangkan agar semua ekonomi APEC menawarkan senarai barang yang ditentukan sendiri untuk konsesi tarif sehala.
Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC, Hairil Yahri Yaacob menyifatkan deklarasi itu sebagai pencapaian yang berpotensi bagi forum itu.
“Secara khususnya, saya harus menekankan bahawa deklarasi ini akan menjadi perkara paling penting kepada APEC untuk menunjukkan komitmen kami dalam mempromosikan perdagangan serantau.
“Saya menggesa rakan sejawat untuk memanfaatkan sebanyak mungkin kefleksibelan menerusi deklarasi ini bagi melengkapkan penyampaian yang konkrit dalam Mesyuarat Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (VMRT),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Secara Maya Kedua (VESOM 2) semalam yang dihadiri semua ekonomi APEC, Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan pemantau yang terpilih daripada organisasi antarabangsa dan serantau.
Hairil berkata, VESOM 2 akan menilai perkembangan dan memutuskan langkah konkrit serta tindakan selanjutnya untuk mencapai matlamat ditetapkan yang akan dimaklumkan kepada Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) apabila mereka mengadakan pertemuan esok.
“Penting untuk kita menunjukkan kesepakatan terhadap inisiatif ini dan memberi keyakinan kepada menteri kita bahawa kita mampu menjalankannya mengikut arahan mereka,” katanya.
Beliau turut menegaskan APEC untuk memperkukuh pertalian agar lebih kuat dalam mengharungi ujian akibat pandemik Covid-19.
Katanya pada Mei, pegawai-pegawai kanan diarahkan mengambil semua langkah perlu untuk memastikan aliran perkhidmatan barangan dan perkhidmatan di seluruh rantau ini terus tidak mengalami gangguan.
“Kami juga diarahkan mewujudkan pendekatan yang selaras untuk mengumpulkan dan berkongsi maklumat mengenai dasar dan langkah berkaitan Covid-19 dan kesan ekonomi,” katanya.
Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), mesyuarat VMRT dijadual diadakan pada April lepas di Kuala Lumpur, namun ditangguhkan kepada 25 Julai akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kanan merangkap Menteri MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat digital pertama menteri perdagangan APEC 2020. – Bernama