
BINTULU: Masyarakat Dayak diingatkan supaya menyambut Gawai Dayak secara sederhana dan berhemah, bagi memastikan keperluan pendidikan anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran selepas perayaan tidak terabai.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, ramai pelajar akan menyambung pengajian ke universiti selepas sambutan Gawai, maka penting untuk menyimpan sebahagian perbelanjaan bagi tujuan pendidikan.
“Kita sedia maklum bahawa selepas Gawai, kebanyakan anak-anak kita akan menyambung pelajaran mereka ke universiti dan sebagainya.
“Oleh itu, saya berharap jangan habiskan semua wang untuk Gawai. Itu sangat penting.
“Kita semua termasuk saya sendiri perlu saling mengingatkan agar selepas Gawai nanti, masih ada simpanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Sambutan Pra-Gawai Dayak Peringkat Bahagian Bintulu 2025 yang berlangsung di Dinner World Bintulu, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu turut menggalakkan masyarakat memanfaatkan sambutan Gawai sebagai ruang untuk merapatkan hubungan silaturahim dan memperkukuh perpaduan komuniti.
Beliau memuji kerjasama erat empat persatuan utama iaitu Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Persatuan Kebangsaan Orang Ulu (OUNA) dan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dalam penganjuran majlis tersebut.
“Kita lihat empat persatuan ini bekerjasama menganjurkan Gawai peringkat bahagian Bintulu dan ini menunjukkan semangat perpaduan yang tinggi.
“Jika mereka tidak bekerjasama dan tidak saling memahami, sudah tentu sambutan ini tidak akan berjaya,” ujarnya.
Menurut beliau, kehadiran lebih 1,400 tetamu membuktikan semangat kebersamaan masyarakat Dayak terus utuh dan perlu dikekalkan demi masa depan yang lebih harmoni.
Majlis yang bertemakan Segulai Sejalai itu diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, pertandingan Kumang Gawai, dan nyanyian oleh penyanyi Iban terkenal, Linda Simai.
Pada majlis itu, Dato Sri John Sikie juga mengumumkan geran peruntukan RM30,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Bahagian Bintulu sebagai sokongan kepada penganjuran sambutan tersebut.
Oleh Carolyne Utih