
MOSCOW: Bilangan warga Amerika Syarikat (AS) yang memohon kerakyatan British mencatatkan rekod tertinggi sejak Presiden AS, Donald Trump dipilih semula, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Akhbar Financial Times melaporkan pada Jumaat bahawa lebih 1,930 rakyat AS mengemukakan permohonan sepanjang tiga bulan pertama 2025 — peningkatan 12 peratus berbanding suku sebelumnya dan jumlah tertinggi sejak rekod permohonan direkodkan.
Seorang peguam imigresen memberitahu Financial Times bahawa peningkatan mendadak rakyat AS yang bercadang berpindah ke United Kingdom didorong oleh “ketakutan, rasa kecewa dan keselamatan kewangan.”
Data dari pihak berkuasa UK turut menunjukkan peningkatan sebanyak 9.6 peratus membabitkan permohonan visa pelajar oleh warga AS pada awal 2025 berbanding tahun sebelumnya, terutamanya bagi pengajian peringkat sarjana muda.
Perkembangan itu berlaku susulan kritikan Trump terhadap universiti-universiti terkemuka AS yang dituduhnya mempromosikan idea-idea progresif dan ‘woke,’ menurut laporan Financial Times.
Pada 20 Januari lalu, Trump secara rasmi memulakan penggal kedua sebagai Presiden AS ke-47, dengan janji untuk melaksanakan pelbagai perintah eksekutif, merombak dasar global secara besar-besaran, serta membawa era baharu ‘kegemilangan’ untuk Amerika.– Bernama-Sputnik/RIA Novosti