Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • 4 maut, seorang hilang akibat banjir di timur Australia
  • GLOBAL

4 maut, seorang hilang akibat banjir di timur Australia

Utusan Sarawak 1 day ago
AIR banjir kelihatan mengalir deras melalui Jeti Parramatta di Sydney pada 23 Mei 2025. Rekod banjir rekod melanda kawasan timur Australia pada 23 Mei, menyebabkan kemusnahan dengan rumah dipenuhi lumpur. Foto AFP

SYDNEY: Empat orang maut manakala seorang lagi masih hilang selepas banjir melanda negeri New South Wales (NSW) timur Australia, lapor Agensi Berita Xinhua.

Polis NSW dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa mayat seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kereta yang ditenggelami air berhampiran pekan kecil Nana Glen, kira-kira 450 kilometer timur laut Sydney pada pagi Jumaat.

Kenderaan itu dikesan kira-kira 4.30 pagi oleh seorang pemandu yang melalui kawasan berkenaan dan segera memaklumkan kepada polis.

Anggota polis bersama Pasukan Kecemasan Negeri (SES) bergegas ke lokasi dan menemukan mayat seorang lelaki dipercayai berusia dalam lingkungan 70-an di dalam kenderaan itu.

Insiden terbabit merupakan kematian keempat akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di utara Sydney.

Pada Khamis petang, polis melaporkan bahawa mayat seorang wanita dalam lingkungan 60-an ditemukan di dalam sebuah kereta yang tenggelam di kawasan banjir berhampiran pekan Brooklana, kira-kira 430 kilometer timur laut Sydney.

Wanita itu dilaporkan hilang pada malam Rabu selepas menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kenderaannya terkandas akibat banjir.

Usaha mencari pada malam itu gagal menemukan mangsa atau kenderaannya.

Mayat mangsa ditemukan di dalam kenderaan berkenaan selepas operasi pencarian disambung semula pada Khamis, menurut kenyataan polis.

Sementara itu, mayat seorang lelaki berusia 63 tahun ditemukan di sebuah premis yang dilanda banjir di kawasan Mid North Coast pada petang Rabu, manakala seorang lelaki berusia 34 tahun yang dilaporkan hilang ketika memandu meredah banjir pada malam Rabu ditemukan maut pagi Khamis.

Lelaki keempat, berusia 49 tahun masih hilang selepas gagal pulang ke rumah selepas berjalan berhampiran jalan raya yang dinaiki air pada petang Rabu.

Hujan lebat selama lima hari berturut-turut yang melanda kawasan Mid North Coast dan wilayah berdekatan dilaporkan mula reda pada pagi Jumaat.

Ketua Penguasa SES NSW, Dallas Burnes berkata sebanyak 678 operasi menyelamat telah dijalankan sejak Ahad dan kira-kira 50,000 orang masih terputus hubungan akibat banjir setakat pagi Jumaat. — Bernama-Xinhua

Continue Reading

Previous: Pasukan penyelamat Indonesia temui 15 mayat mangsa banjir di Papua Barat
Next: Panama umum sambung semula penerbangan dengan Venezuela

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.