
Gambar hiasan
ANKARA: Agensi kawal selia ubat dan terapeutik Australia telah meluluskan ubat pertama untuk rawatan penyakit Alzheimer, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar awam ABC.
Pentadbiran Barangan Terapeutik (TGA) meluluskan ubat Donanemab yang didapati dapat memperlahankan perkembangan Alzheimer dengan membersihkan protein dalam otak.
Ubat itu disasarkan untuk individu yang mengalami gangguan kognitif ringan atau demensia ringan akibat Alzheimer.
Penyakit itu merupakan punca utama kematian wanita Australia dan penyebab kematian kedua tertinggi bagi lelaki.
Donanemab diberikan melalui infusi intravena di lengan setiap empat minggu untuk tempoh maksimum 18 bulan.
Ujian klinikal menunjukkan ubat itu dapat membantu pada peringkat awal penyakit Alzheimer.
Bagaimanapun, ia bukan penawar dan tidak menghentikan kemerosotan fungsi kognitif.
Namun, ia dapat memperlahankan perkembangan penyakit dan membolehkan pesakit menikmati kualiti hidup yang lebih baik untuk tempoh yang lebih lama.
Ubat itu telah pun diluluskan di United Kingdom dan Amerika Syarikat, namun masih belum disenaraikan dalam Skim Faedah Farmaseutikal Australia, sekali gus tidak menerima subsidi kerajaan dan dijangka menelan belanja antara AS$40,000 hingga AS$80,000 setahun untuk rawatan.
Pakar kesihatan bagaimanapun memberi amaran mengenai kesan sampingan seperti pembengkakan dan pendarahan otak, serta menyeru pemantauan rapi ke atas pesakit.
— BERNAMA-Anadolu