KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) 2020 telah menyediakan beberapa inisiatif untuk merancakkan semula pasaran hartanah dalam usaha mengatasi masalah kekurangan rumah mampu milik serta memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan belia untuk memiliki rumah sendiri.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) antara inisiatif itu ialah kempen pemilikan rumah (HOC) 2020 dengan memberi pengecualian duti setem dan insentif oleh pemaju perumahan yang diberikan melalui diskaun harga jualan sekurang-kurangnya 10 peratus.
Selain itu, pengecualian cukai keuntungan harta tanah (CKHT) iaitu cukai yang dikenakan ke atas keuntungan daripada hasil jualan hartanah, pengurangan kadar cukai semasa dapat memberikan kesan positif dalam merangsang pasaran perumahan negara.
“Pengecualian CKHT diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun, 2020 hingga 31 Disember 2021, dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah sahaja untuk setiap individu,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang ingin tahu mengenai usaha pihak kementerian mengatasi masalah kekurangan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat terutamanya golongan belia memandangkan kenaikan harga rumah ketika ini tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah dan sejauh manakah pandemik Covid-19 mempengaruhi harga pasaran pada masa ini.
Inisiatif seterusnya adalah had pembiayaan bagi pinjaman perumahan (LTV), iaitu nisbah had pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan bagi peminjam perumahan yang mempunyai dua atau lebih pinjaman perumahan sedia ada tertakluk kepada pengurusan risiko peminjam.
“Di bawah PENJANA, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas semasa tempoh HOC 2020 tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah tetapi tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan,” kata KPKT.
Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan pihaknya tiada maklumat yang tepat mengenai sejauh mana pandemik COVID-19 mempengaruhi harga pasaran pada masa ini.
Berdasarkan rekod pendaftaran Lesen Pemajuan dan Permit Iklan Jualan Kediaman (APDL), trend permohonan pemaju sama seperti tahun-tahun sebelumnya dan tiada pengurangan permohonan lesen pemajuan.
Namun begitu, terdapat pengurangan pada transaksi hartanah kediaman iaitu sebanyak 19 peratus kepada 47,000 pada 2020 berbanding 56,000 pada 2019, bagi permohonan lesen baharu suku tahun sebanyak 263 (2020) berbanding 256 (2019), dan pembaharuan lesen pada suku pertama sebanyak 603 (2020) berbanding 465 (2019).
Antara punca-punca pengurangan transaksi hartanah kediaman adalah: pemaju perumahan tidak dapat membuat kempen jualan; kaedah pemasaran yang terhad dan pembeli berhati-hati untuk membuat sebarang komitmen kewangan. – Bernama