KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Mikai Mandau telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional yang baharu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Mikai yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai mempunyai pengalaman sebagai Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman dan pernah menjadi Audit Eksekutif di Petronas.
“Oleh sedemikian, saya amat yakin kemampuan Mikai dapat membantu lebih ramai usahawan dari Sarawak dan memberikan khidmat terbaik buat TEKUN Nasional.
“Ahli Lembaga Amanah yang dilantik terdiri daripada lantikan profesional dalam pelbagai latar belakang sektor korporat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Wan Junaidi turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Lantikan Kepada lapan Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional yang baru yang menjadikan keseluruhannya 13 orang.
“Tahniah diucapkan kepada semua Ahli Lembaga Amanah TEKUN Nasional yang baru dilantik iaitu Ustaz Shaharizukirnain Abd. Kadir sebagai Pengerusi TEKUN Nasional yang baru, Timbalan Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Zamri Salleh, Datuk Pirdaus Ismail, Zuhaimy Md Isa, Mohd Azrin Abdull Rahim, Mizma Appehdullah dan Fairuz Mohd Yatim,” katanya.
Tambahnya, beliau amat yakin dengan kredibiliti kepimpinan ahli lembaga pengarah yang baru ini kerana ia akan memperkukuhkan lagi barisan pengurusan tertinggi sedia ada dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan usahawan mikro khususnya.
“Bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan di Sarawak terutama di luar bandar dengan membuka sembilan buah Pejabat TEKUN Cawangan Mini di Negeri Sarawak iaitu di Sibuti (telah dibuka pada 20 Julai 2020), Lundu, Serian, Daro, Sebuyau, Kanowit, Lachau, Betong dan Marudi.
“Selain itu, TEKUN juga akan melancarkan Perkhidmatan Kaunter Bergerak dengan menggunakan tiga buah TEKUN Mobile yang beroperasi di tiga buah stesyen iaitu Bintulu, Sibu dan Sri Aman,” katanya lagi.
Oleh Zarina Abdullah