Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Menteri pertanian Jepun meletakkan jawatan kerana beras percuma
  • GLOBAL

Menteri pertanian Jepun meletakkan jawatan kerana beras percuma

Utusan Sarawak 13 hours ago
MENTERI pertanian Jepun Taku Eto (tengah) dikerumuni wartawan ketika memasuki Pejabat Perdana Menteri di Tokyo pada 21 Mei 2025. Menteri pertanian Jepun meletak jawatan pada 21 Mei selepas berkata beliau tidak pernah membeli beras kerana mendapatnya secara percuma, satu kenyataan yang mengundang kemarahan orang ramai di negara yang menghadapi kenaikan harga makanan. FOTO AFP

TOKYO: Menteri Pertanian Jepun Taku Eto pada Rabu meletak jawatan selepas berdepan tindak balas hebat berhubung kenyataannya bahawa beliau tidak membeli beras kerana menerima bekalan yang banyak daripada penyokongnya, sekali gus memberi tamparan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang popularitinya sudah pun terjejas akibat isu kos sara hidup, khususnya kenaikan harga beras.

Menurut Kyodo News yang memetik sumber kerajaan, Ishiba dijangka melantik Shinjiro Koizumi, 44, sebagai pengganti Eto – bekas Menteri Alam Sekitar yang popular dan pernah bertanding dalam pemilihan Presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) tahun lepas.

Selepas menerima peletakan jawatan Eto, Ishiba mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas pemilihannya dan kerana membiarkannya terus memegang jawatan walaupun berdepan bantahan berhubung kenyataan kontroversi itu.

“Saya akan menerima semua kritikan,” kata Ishiba.

Eto, 64, menyerahkan surat peletakan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri beberapa jam sebelum Ishiba dijadual berdepan pemimpin parti pembangkang di Parlimen – yang sebulat suara mendesak beliau meletak jawatan.

Skandal terbaharu itu berlaku ketika Ishiba bersiap sedia menghadapi pilihan raya Dewan Kaunselor pada musim panas ini — pemilihan yang mesti dimenangi gabungan pemerintah selepas mereka kehilangan kawalan ke atas Dewan Perwakilan tahun lepas.

Eto merupakan anggota Kabinet pertama di bawah pentadbiran Ishiba yang meletak jawatan bukan kerana kehilangan kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Oktober lepas.

“Saya bertanya diri sendiri sama ada wajar untuk saya kekal menerajui kementerian pada waktu kritikal bagi harga beras, dan saya membuat kesimpulan bahawa ia tidak wajar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan saya yang amat tidak wajar sebagai menteri, pada waktu mereka bergelut dengan kenaikan mendadak harga beras,” katanya.

Kenyataan Eto dibuat tidak lama selepas Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan memutuskan untuk mengeluarkan simpanan stok kecemasan beras sehingga Julai dalam usaha menurunkan harga beras yang telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Eto dikenali sebagai antara pakar utama dasar pertanian dalam parti pemerintah dan pernah menjawat jawatan Menteri Pertanian selama setahun bermula 2019 di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.

Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat tidak berpuas hati terhadap cara kerajaan menangani kenaikan harga beras. Isu itu diburukkan lagi oleh pertumbuhan gaji yang tidak seiring dengan kadar inflasi.

“Saya tidak membeli beras. Terima kasih kepada penyokong saya yang memberikan begitu banyak beras, saya mempunyai begitu banyak beras di rumah sehingga saya boleh menjualnya.”

Beliau kemudian menjelaskan bahawa kenyataan itu bertujuan mencuit hati hadirin, namun “terlalu berlebihan”, menyebabkan ahli Parlimen pembangkang segera mempersoalkan kelayakannya untuk kekal sebagai menteri.

Selain parti pembangkang, kritikan turut meningkat dalam kalangan gabungan pemerintah, dengan beberapa pemimpin kanan menganggap peletakan jawatan beliau sebagai tidak dapat dielakkan.

Koizumi, yang dijangka dilantik sebagai Menteri Pertanian yang baharu, pernah tewas kepada Ishiba dalam pemilihan presiden LDP, namun merupakan antara tokoh pilihan rakyat dalam tinjauan sebagai pemimpin masa depan Jepun.

Kontroversi itu berlaku ketika satu tinjauan pendapat Kyodo News menunjukkan kadar penilaian kelulusan Ishiba kini pada tahap terendah sejak beliau mengambil alih jawatan pada Oktober lepas, sekali gus menggambarkan kegagalannya setakat ini untuk mengembalikan kepercayaan rakyat yang terjejas ekoran skandal pengumpulan dana politik LDP.– Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: 30 selamat selepas kapal terbalik berhampiran Pedra Branca
Next: Syria sambut keputusan EU tarik balik sekatan, anggapnya ‘kemenangan bersejarah’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.