

TINJAU… Nanta ketika meninjau kerja baik pulih di kawasan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat, Song. Foto Alexander Nanta Linggi
KAPIT: Orang ramai khususnya mereka yang pulang ke kampung sempena sambutan Gawai Dayak diingatkan agar berhati-hati ketika memandu melalui kawasan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat, Song.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata kawasan berkenaan masih dalam proses baik pulih dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada.
“Dalam perjalanan balik dari rangka kerja di kawasan Parlimen Kapit, saya sempat singgah sebentar di kawasan tanah runtuh, Jalan Sipan/Temalat, Song.
“Apa yang amat menggembirakan saya ialah kerja baik pulih sedang rancak dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Menurut beliau, papan tanda amaran turut dipasang di kedua-dua bahu jalan Sibu/Kanowit-Song-Kapit sebagai langkah keselamatan bagi pengguna jalan terbabit.
“Saya berharap kerja baik pulih dapat dijalankan dengan lancar.
“Walaupun kerja baik pulih masih lama lagi untuk disiapkan tetapi dengan adanya sedikit kemajuan, sekurang-kurangnya keselamatan orang ramai yang melalui jalan itu akan lebih terjamin,” katanya.
Oleh Tarani Lanting