
SEREMBAN, 13 April -- Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) melihat kelengkapan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang ditunjukkan Pengurus Besar Operasi Cawangan Pasar Mini 99 Speedmart Sdn Bhd, Yong Eng Kwang (kanan) pada majlis penyampaian sumbangan kelengkapan PPE termasuk cecair pembasmi kuman oleh Pasar Mini Speedmart hari ini. Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datin Dr Harlina Abdul Rashid (tengah). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
SEREMBAN: Pasar mini 99 Speedmart Sdn Bhd semalam menyumbangkan kelengkapan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) termasuk cecair pembasmi kuman kepada petugas barisan hadapan Hospital TuankuJa’afar (HTJ) di sini, yang juga sebuah daripada hospital yang dikhususkan untuk merawat wabak Covid-19.
Sumbangan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat 99 Speedmart itu disampaikan oleh Pengurus Besar Operasi Cawangan 99 Speedmart, Yong Eng Kwang kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sumbangan itu terdiri daripada 50 helai pakaian perlindungan, 500 pasang sarung tangan, 5,000 penutup mulut dan hidung, 720 botol cecair pembasmi kuman 60ml, 144 botol cecair pembasmi kuman 500ml, 1,200 apron pakai buang, 2,400 botol air minuman dan 600 unit Munchy 7 Day Crossaint.
Dalam pada itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketikaini juga sedang giat menghasilkan 1,000 PPE untuk disumbangkan kepada HTJ melibatkan kos RM12,000.
Projek penghasilan PPE USIM oleh kakitangan dan pelajar USIM itu terdiri daripada gaun, penutup kepala dan kasut but yang dihasilkan di Pusat Inkubator Jahitan USIM di bawah penyelarasan Pusat Keusahawanan Universiti.
Ia akan diserahkan secara berperingkat-peringkat dengan peringkat pertama melibatkan 300 PPE diserahkan semalam.- Bernama