93,000 golongan autistik berdaftar dengan JKM setakat Jun 2026

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying ketika sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 93,000 daripada 850,000 Orang Kurang Upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Jun lepas adalah golongan autistik.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata peningkatan pendaftaran itu mendorong kerajaan memperkasakan pelbagai inisiatif sokongan intervensi awal, pendidikan dan latihan kemahiran bagi golongan berkenaan.

“Mulai 2026, kadar subsidi (bagi yuran pembelajaran dan terapi) adalah sebanyak RM1,000 bagi setiap kanak-kanak autisme yang layak dan diberikan secara one-off.

“…terkini, KPWKM membangunkan sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme di Bangi dengan objektif utama untuk menyediakan sebuah pusat sehenti menawarkan perkhidmatan berkualiti yang mampu dan mudah diakses,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Lim berkata melalui inisiatif itu, kerjasama antara JKM dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia terus diperkukuh agar golongan itu tidak dipinggirkan serta potensi mereka dapat dioptimumkan sepenuhnya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr A. Lingeshwaran mengenai perancangan kerajaan dalam membantu golongan autisme mencapai potensi diri dan sokongan kepada ibu bapa dan penjaga mereka. – Bernama