
SARIKEI: Sebanyak 90 projek pembangunan bernilai RM1.525 bilion di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap menjelang 2029.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kesemua projek di bawah RADDA yang telah diluluskan kini sedang dilaksanakan mengikut jadual dan fasa yang ditetapkan.
Katanya yang juga Pengerusi RADDA, projek-projek tersebut melibatkan Bahagian Mukah dan Bahagian Sarikei, termasuk sebahagian kawasan di Daerah Sibu.
“Kesemua projek bernilai RM1.525 bilion itu melibatkan Bahagian Mukah, Bahagian Sarikei dan sebahagian Daerah Sibu, termasuk projek jalan raya Batang Lebaan-Batang Lassa yang dianggarkan menelan kos hampir RM95 juta,” katanya.
Len Talif berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu RADDA yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tingkat 12, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Katanya, setakat ini sebanyak 15 projek telah memasuki fasa pelaksanaan, dengan enam projek mengikut jadual, dua lewat jadual, enam mendahului jadual dan satu telah siap sepenuhnya.

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan projek berjalan dengan baik dan saya berasa gembira walaupun masih terdapat beberapa projek yang berada dalam proses tender.
“Kita sudah mempunyai jadual pelaksanaan bagi kesemua projek ini dan telah mengenal pasti setiap fasa pelaksanaan bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata sebanyak lima projek kini berada dalam proses tender, manakala 41 projek masih di peringkat reka bentuk, 26 projek pada peringkat penentuan tapak (siting) dan reka bentuk serta tiga projek lagi pada peringkat penentuan tapak.
“Sebanyak 41 projek bernilai lebih RM685 juta dijangka ditender pada suku ketiga tahun ini, manakala 23 projek bernilai RM339 juta dijangka ditender pada suku keempat tahun ini.
“Lima lagi projek dijangka ditender pada suku pertama tahun hadapan dengan nilai keseluruhan RM100 juta.
“Ini bermakna kita sudah mempunyai jadual tertentu bagi kesemua 90 projek yang telah dikenal pasti dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu RADDA,” katanya.
Beliau optimis kebanyakan projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, berdasarkan jadual yang telah disusun, kebanyakan projek ini dijangka siap menjelang 2029, insya-Allah,” katanya.
Oleh Earl Anek