87 kenderaan diperiksa dalam Ops Bersepadu JPJ, IPD Betong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA JPJ Sarawak dan IPD Betong menjalankan pemeriksaan kenderaan sempena Ops Bersepadu di Kilometer 15, Lebuh Raya Pan Borneo, Betong.

BETONG: Sebanyak 87 kenderaan pelbagai jenis diperiksa menerusi Ops Bersepadu yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong di Kilometer 15, Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, semalam.

Operasi secara statik yang dijalankan oleh JPJ Cawangan Betong dengan kerjasama IPD Betong itu bertujuan meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya selain membantu usaha pencegahan jenayah serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya terus terpelihara.

PEMERIKSAAN terhadap pengguna jalan raya dilakukan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam Ops Bersepadu JPJ Sarawak dan IPD Betong di Betong.

Menurut kenyataan JPJ Sarawak, hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan antaranya tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta lain-lain kesalahan melibatkan aspek teknikal kenderaan.

“Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

TAKLIMAT operasi kepada anggota penguat kuasa sebelum pelaksanaan Ops Bersepadu JPJ Sarawak bersama IPD Betong di Betong.

JPJ Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada pihak IPD Betong atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan operasi bersepadu berkenaan.

“Kerjasama strategik seperti ini akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek keselamatan jalan raya dan kesejahteraan masyarakat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat