KUALA SELANGOR: Sejumlah 8,500 premis di seluruh negara diberi amaran kerana melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Okt lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kesalahan itu dikesan menerusi 283 operasi khas selama lima hari berakhir Sabtu lepas melibatkan 4,481 penguat kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita tidak mengambil tindakan penguatkuasaan seperti mengenakan kompaun sebaliknya hanya memberi amaran berbentuk literasi, pencerahan dan penjelasan.
“Bagaimanapun, sepanjang operasi itu tindakan penguatkuasaan dikenakan terhadap 12 perokok atas kesalahan merokok di tempat larangan. Bagi kesalahan merokok itu kita mengambil tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBas) peringkat negeri Selangor di sini hari ini.
Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lepas berkuat kuasa serta-merta dan berfasa bermula 1 Okt lepas serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya yang bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape terutama dalam kalangan golongan muda.
Penguatkuasaan itu antara lain melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berhubung kelewatan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu berkait kematian pakar perubatan patologi di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini adalah kurang tepat.
Beliau berkata pasukan petugas berkenaan yang dianggotai ahli panel persendirian ditubuhkan untuk menganalisis input daripada siasatan insiden berkenaan dengan lebih mendalam.
Sebelum ini, Khoo dalam satu kenyataan meluahkan rasa kecewa berhubung pengumuman KKM pada 2 Okt lepas bahawa pasukan petugas itu hanya akan ditubuhkan pada 10 Okt ini, lebih sebulan selepas kematian Dr Tay Tien Yaa pada 29 Ogos.
Khoo dalam kenyataan sama berkata kelewatan siasatan mungkin menjejaskan keadilan terhadap Dr Tay dan perubahan perlu dilakukan bagi melindung petugas kesihatan. — BERNAMA