GEDONG: Seramai 82 pemilik tanah menerima cek pampasan bayaran balik berjumlah lebih RM5.2 juta bagi pelaksanaan projek Mini Genting Gedong.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada pemilik tanah ke atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan projek tersebut.
“Kawasan ini dianggarkan lebih 300 ekar dan kita bangunkan serta manfaatnya sudah tentu untuk masyarakat Gedong dan juga Simunjan dalam pembangunan kawasan ini.
“Jadi, kita beri cek pampasan lebih RM5 juta,” katanya pada majlis penyampaian cek pampasan bagi projek Mini Genting Gedong di sini, hari ini.
Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Zunica Sapi’ee memberitahu, pelaksanaan projek ini bakal memanfaatkan penduduk Gedong dan kawasan sekitarnya dengan adanya kemudahan yang berkualiti.
“Projek ini akan menyediakan pelbagai kemudahan yang berkualiti seperti kemudahan awam yang melibatkan penyediaan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, komersial, kediaman termasuk menyediakan peluang pekerjaan dan pembangunan sosio ekonomi masyarakat setempat,” ujarnya.
Projek yang diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 15 Jun 2022 tersebut melibatkan 82 pemilik tanah yang keseluruhannya berkeluasan 126.14 hektar.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir. Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, mantan ADUN Gedong merangkap Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Datu Sr Zaidi Mahdi, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak Datu Abdullah Julaihi dan Pemangku Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari.
Oleh Azreen Keria