
SIBU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Sibu menahan seramai 81 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa siri serbuan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar bandar ini dan Selangau pada Sabtu lepas dan semalam.
Operasi berkenaan melibatkan 19 anggota penguat kuasa termasuk pegawai daripada Pasukan Tindakan Khas (PTK), hasil aduan awam serta risikan ke atas beberapa premis dan lokasi yang dipercayai menjadi tempat penempatan serta transit warga asing.
“Operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan di sembilan lokasi sekitar Bahagian Sibu.
“Hasil pemeriksaan terhadap 114 individu mendapati seramai 81 warga asing ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan JIM Sarawak hari ini.


Daripada jumlah itu, 50 adalah lelaki, 18 perempuan, lima kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 80 warga Indonesia dan seorang warga Filipina yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Turut dikenakan tindakan dalam operasi tersebut ialah seorang majikan tempatan yang disyaki melindungi atau menggajikan warga asing tanpa dokumen sah.
Semua tahanan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Sibu bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM Sarawak menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk mempergiat operasi penguatkuasaan dalam usaha membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan hanya warga asing yang mematuhi peraturan dibenarkan berada dan bekerja di negeri ini.