
SARIKEI: Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) Bil. 1/2025 yang diadakan di Pusat Pentadbiran Bahagian Sarikei telah membincangkan lebih 70 projek yang akan ditender tahun ini dan tahun hadapan, melibatkan peruntukan hampir RM1.5 bilion, kata Pengerusinya, Datuk Len Talif Salleh.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, berkata projek tersebut akan ditender dengan kos berjumlah RM1.2 bilion pada tahun ini.

“Insya-Allah, ia akan mengikut jadual apa yang telah ditaklimatkan oleh agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah di Bahagian Sarikei dan juga Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan sebagainya.
“Dari segi keseluruhannya, kemajuan status pelaksanaan projek ini adalah memuaskan.
“Insya-Allah, kebanyakan projek ini akan disiapkan dalam masa 18 bulan dan ada juga 36 bulan bermakna keseluruhan projek ini mengikut jadualnya boleh disiapkan dalam 2028 dan ada juga yang 2027,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang.
Len Talif berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat tersebut, hari ini.
Tambahnya, ia merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur di kawasan Sarikei dan Mukah.
“Inisiatif ini juga termasuklah di seluruh Sarawak, yang mana sebanyak sembilan agensi telah dibangunkan oleh Premier Sarawak.
“Setiap agensi ini telah diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion.
“Oleh sebab itulah, kita bagi pihak ahli jawatankuasa Pemandu RADDA mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak dan juga timbalan Premier Sarawak kerana memberi sokongan yang begitu baik pada kita terutama sekali wakil rakyat dari kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada agensi pelaksana kerana menjalankan tugas dengan begitu baik.
“Di RADDA, kita mempunyai 89 projek yang kita telah kenal pasti untuk di laksanakan…tidaklah termasuk projek yang dilaksanakan dibawah projek rakyat dan di bawah projek agensi yang lain.
“Oleh sebab itulah, kita juga mengucapkan terima kasih kepada agensi pelaksana,” katanya.
Oleh Earl Anek