MARUDI: Lebih 70 peserta terdiri agensi-agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Ketua-Ketua Kaum menghadiri sesi dialog antara Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB) bersama Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang anak Manggil baru-baru ini.
Sesi dialog tersebut dilangsungkan di dewan Suarah Marudi dan turut bersama dalam sesi dialog ini ialah Pengurus Operasi dan Penyelenggaraan SEB Miri, Patrick Andra dan Jurutera Air Bahagian Miri Fadil Bin Kawi.
Dialog tersebut bertujuan untuk memberi penjelasan berkenaan masalah gangguan bekalan elektrik dan bekalan air di Marudi termasuk Beluru.
Dalam sesi dialog tersebut Datu Dr Penguang anak Manggil selaku Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi memberi peluang kepada JBALB dan SEB mengemukakan jalan penyelesaian terhadap isu-isu gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berlaku sebelum ini dan memberi peluang kepada peserta yang hadir untuk bertanya soalan berkenaan isu-isu tersebut.
Berkenaan isu gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada 2 hingga 4 Julai dan 16 Julai lepas, pihak SEB memaklumkan ia berlaku disebabkan tiang elektrik di dalam hutan telah dipanah petir.
Selain itu pihak SEB juga memaklumkan bahawa kerja-kerja naiktaraf pencawang di Marudi dan Bunut pula akan dapat menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang kurang stabil di Marudi.
Pihak SEB juga akan berusaha untuk menyediakan sebuah genset untuk Marudi terutama untuk kegunaan hospital apabila berlakunya gangguan bekalan elektrik.
Sementara itu bagi gangguan bekalan air, kebanyakkan masalah ganguan disebabkan kerja-kerja naiktaraf infrastruktur bekalan air di Marudi iaitu pakej NR2 dan dijangka siap pada Ogos 2021 dan KPLB dijangka siap Januari 2021.
Apabila kerja-kerja naiktaraf ini sudah siap nanti perkhidmatan bekalan air di Marudi akan bertambah baik.
Dalam pada itu, Datu Penguang berpesan kepada penduduk Marudi supaya mengemukakan aduan kepada saluruan yang betul bagi memastikan isu ini dapat diatasi dan bukan menjadikannya isu politik.
Beliau amat berharap penduduk Marudi tidak terpengaruh dan mendengar hasutan pihak pembangkang mengenai isu ini.
Turut serta pada sesi dialog tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Alexander Asing, Pegawai Daerah Marudi, Mackos Sibong, Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai, Ketua Polis Daerah Marudi DSP Jo Hang dan ketua-Ketua jabatan yang lain.
Oleh Jiku Juguong