SELANGAU: Seramai 70 murid dari sekolah rendah sekitar daerah ini telah terlibat dalam Program STEMWorks 2024 yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tong Ah, semalam.
Program ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang.
Gira dalam ucapannya berkata, program Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diadakan bertujuan untuk memupuk minat pelajar terhadap Sains, Matematik, dan Reka Bentuk Teknologi berteraskan STEM.
“Program ini bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembelajaran akademik, malah turut berperanan meningkatkan kemahiran komunikasi, pemikiran kreatif dan kritis, serta kemampuan menyelesaikan masalah secara berkumpulan dalam kalangan pelajar,” katanya.
Gira berkata, melalui inisiatif STEMWorks, pelajar digalakkan untuk membaca, memahami, dan menyampaikan fakta sains dalam bentuk penceritaan yang menarik.
“Kaedah ini diharapkan dapat membina keyakinan diri dan daya saing yang lebih tinggi di kalangan pelajar,” ujarnya.
Justeru, beliau berharap agar program ini menjadi pemangkin kecemerlangan akademik pelajar di daerah Selangau pada 2024.
“Dengan adanya program ini, pelajar dapat mencorakkan perjuangan mereka sendiri, sekaligus mewujudkan budaya belajar yang lebih sistematik dan berkesan,” tambahnya.
Program yang berlangsung dua hari bermula 18 hingga 19 Oktober ini merangkumi empat modul utama termasuk kepimpinan pelajar, kemahiran STEM, aktiviti STEM berkumpulan, serta ceramah kesedaran mengenai pendidikan dan STEM. Turut hadir pada majlis itu, wakil Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), Anita Anthony Jilan; Ketua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau, Ringgit Gawan; Pegawai Pejabat Daerah, Yalin Assan dan beberapa pemimpin masyarakat serta guru-guru dan pelajar yang terlibat.
Oleh Tarani Lanting