
BOGOTA: Tujuh pelombong maut selepas satu letupan berlaku di sebuah lombong arang batu di wilayah Cundinamarca, tengah Colombia, disahkan pihak berkuasa tempatan pada Jumaat, lapor Xinhua.
Letupan itu berlaku pada petang Khamis di sebuah lombong di perbandaran Sutatausa, menurut media tempatan. Maklumat awal menunjukkan kejadian berpunca daripada pengumpulan gas di bawah tanah.
Pasukan penyelamat dihantar ke lokasi sejurus selepas kemalangan berlaku.
Gabenor Cundinamarca Jorge Emilio Rey Angel menerusi media sosial menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan turut mendedahkan nama pelombong yang terkorban.
Beliau berkata Agensi Perlombongan Kebangsaan Colombia akan membuka siasatan rasmi bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.
Kemalangan perlombongan bukan perkara luar biasa di tengah Colombia, apabila terdapat pengusaha lombong yang gagal mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan.- Bernama-Xinhua