NIAMEY: Hujan lebat selama tiga bulan di Niger menyebabkan 65 orang terkorban dan hampir 330,000 orang hilang tempat tinggal, sementara beberapa kawasan di ibu kota Niamey masih ditenggelami air.
Kementerian Tindakan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana berkata Selasa lalu 51 orang maut selepas rumah mereka runtuh ketika banjir dan 14 orang mati lemas.
Kawasan yang paling terjejas teruk ialah Maradi di selatan negara itu, Tahoua dan Tillaberi di barat serta Dosso di barat daya.
Sekurang-kurangnya 10 kematian berlaku di ibu kota Niamey, di mana hujan lebat menyebabkan tebing sungai Niger pecah, menurut pihak berkuasa perbandaran.
Niger adalah antara negara paling kering di dunia dan sering mengalami musim kemarau.
Tetapi pada masa yang sama, Niger turut mengalami musim hujan selama
berbulan-bulan, yang mana sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi lebih teruk kerana perubahan iklim.
Banjir tahun lalu meragut 57 nyawa dan menjejaskan 226,000 orang di seluruh negara itu. – AFP