
SIBU: Sebanyak 65 individu termasuk lima wanita tempatan ditahan selepas dipercayai positif dadah dan ketum menerusi Ops Cegah yang dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Mukah selama tiga hari, yang berakhir semalam.
Agensi berkenaan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan individu yang ditahan berusia antara 20 hingga 63 tahun, dengan saringan air kencing mendapati 41 positif methamphetamine, 23 positif ketum dan seorang positif ganja.
“Tangkapan tertinggi direkodkan di Daro membabitkan 20 individu, diikuti Pulau Bruit sebanyak 17 ditahan, Tanjung Manis (11), Belawai (10) dan Rajang (tujuh).
“Antara yang ditahan termasuk pesara kerajaan dan bekas penjawat awam dengan kesemua mereka ditahan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” menurut AADK yang turut memaklumkan operasi itu membabitkan kekuatan 15 pegawai dan anggota.
Agensi itu turut menggesa individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang agar tampil mendapatkan rawatan serta pemulihan secara sukarela sama ada menerusi program komuniti atau di institusi pemulihan. – Bernama