
Datuk Lukanisman Awang Sauni
KUALA LUMPUR: Kira-kira 600 pegawai kesihatan di Sabah dan Sarawak dikesan mengemukakan surat rayuan untuk berpindah keluar dari negeri itu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) berdepan cabaran untuk membantu memberikan hak kesihatan buat penduduk di Sabah dan Sarawak berikutan perkembangan itu.
“Adakah kita wajar meletakkan semua pegawai perubatan di Lembah Klang dan dalam bandar sahaja?.
“Contoh di Sarawak kita mengemukakan 650 perjawatan tetap, namun hanya tujuh pegawai perubatan klik kepada perjawatan tetap itu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi laporan tahunan dan penyata kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Pada masa sama, Lukanisman berkata, pihaknya juga berharap kerajaan dan agensi pusat berkaitan dapat mempertimbangkan untuk memberi insentif kepada pegawai perubatan dari Semenanjung yang berpindah ke Sabah dan Sarawak.
“Apabila berlaku perpindahan mereka memerlukan modal. Saya akan bawa kepada kerajaan negeri juga jika ada kapasiti kewangan seperti ‘welcome fund’ untuk golongan doktor ini,” katanya.