TANJUNG MANIS: Seramai 60 nelayan dari Belawai, Jerijeh, Rajang, Paloh dan Kedang menerima bantuan ‘Touch-Point’ berupa peti insulasi serta pukat menangkap ikan dalam usaha kerajaan meningkatkan produktiviti dan memperkukuh ekonomi komuniti nelayan di kawasan pesisir.
Bantuan bernilai RM40,000 itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, pada Majlis Interaksi dan Penyerahan Bantuan ‘Touch-Point’ kepada Nelayan Tanjung Manis 2026 di Dewan Masyarakat Belawai hari ini.
Len Talif berkata, kehidupan sebagai nelayan bukan sesuatu yang asing baginya kerana beliau sendiri dibesarkan dalam komuniti nelayan dan memahami cabaran yang dihadapi golongan itu dalam mencari rezeki.
“Kehidupan sebagai seorang nelayan tidak asing bagi saya kerana saya juga membesar dalam komuniti ini. Seperti kata pepatah, ‘ikan biar dapat, serampang jangan patah’. Maksudnya, apabila melakukan sesuatu pekerjaan, biarlah mendapat hasil dan segala usaha serta titik peluh yang dicurahkan tidak sia-sia.
“Inilah kehidupan nelayan kita setiap hari. Bermandi keringat menongkah ombak, itulah rutin harian yang dilalui oleh nelayan kita.
“Hasil tangkapan ikan itulah yang menyara dan membesarkan keluarga tanpa mengira erti penat lelah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, selain bantuan ‘Touch-Point’ kepada nelayan, replika cek bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPekS) Daerah Tanjung Manis berjumlah RM68,500 turut diserahkan kepada tiga penerima bagi tujuan pemprosesan produk perikanan, pemprosesan ikan salai serta Pusat Pengumpulan Ikan dan Jualan Hasil Laut.
Katanya, kerajaan turut meneruskan usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur perikanan menerusi pembinaan lampu pemandu dan pemasangan kayu tanda alur sungai setiap tahun bagi membantu nelayan menyusuri laluan sungai yang sentiasa berubah mengikut arus.
“Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) sebelum ini turut menempatkan lebih 30 tukun penghalang pukat di Kuala Paloh bagi memulihkan sumber perikanan dan berharap usaha itu dapat diperluaskan ke perairan Kuala Rajang dan Kuala Paloh.
“Saya berharap bantuan yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memperkukuh perusahaan, meningkatkan produktiviti serta membantu menjana pendapatan yang lebih baik.
“Lebih penting, ia merupakan suntikan semangat dan keyakinan bahawa kerajaan sentiasa bersama komuniti nelayan dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.
“Apabila kita melihat keseluruhan inisiatif yang dilaksanakan hari ini, jelas bahawa setiap projek mempunyai matlamat yang saling melengkapi,” katanya.
Tambahnya, tukun tiruan berperanan memelihara sumber perikanan, lampu pemandu meningkatkan keselamatan nelayan, manakala bantuan ‘Touch-Point’ memperkasakan ekonomi komuniti, sekali gus membentuk ekosistem pembangunan yang menyokong kelestarian industri perikanan secara menyeluruh.
“Kejayaan sebenar pembangunan sektor perikanan bukan hanya diukur melalui jumlah bantuan atau bilangan projek yang dilaksanakan, sebaliknya apabila nelayan menikmati pendapatan lebih baik, sumber laut terus terpelihara, generasi muda melihat sektor perikanan sebagai bidang yang berpotensi dan komuniti pesisir hidup lebih sejahtera.
“Kerajaan Sarawak bersama JPLS akan terus memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan komuniti nelayan di Tanjung Manis dari semasa ke semasa,” katanya.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Abdul Rahman Abdul Wahab, Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Ketua Wilayah Perikanan II Sibu Arthur Besther Sujang dan Pemanca Tanjung Manis Morshidi Mores.
Oleh Earl Anek





