
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi kejadian tembakan di Pasar Makanan Segar Or Tor Kor, Bangkok, hari ini. - FOTO AFP
BANGKOK: Enam termasuk empat pengawal keselamatan maut dalam insiden tembakan berhampiran Pasar Hujung Minggu Chatuchak di sini, hari ini.
Serangan berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) di Pasar Makanan Segar Or Tor Kor yang terkenal.
Dalam kejadian itu, suspek berpakaian baju-T hitam, seluar pendek ala tentera dan membawa beg galas, dipercayai melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol.
Ketua Polis Diraja Thailand, Jeneral Kitrat Phanphet, ketika mengesahkan insiden itu berkata suspek lelaki turut menembak mati dirinya di lokasi kejadian.
“Polis sedang mengenal pasti identiti suspek dan menyiasat motif serangan itu,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Kitrat turut mengarahkan Biro Polis Metropolitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh, mengumpul seberapa banyak bukti dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta menyelesaikan kes itu dengan segera.
Pusat Perubatan Kecemasan Bangkok atau lebih dikenali sebagai Pusat Erawan, dalam satu kenyataan pula mengesahkan mangsa maut terdiri daripada empat pengawal keselamatan, seorang wanita dan suspek.
“Dua wanita turut cedera dan telah dihantar ke Hospital Phyathai Phahol oleh pasukan sukarelawan,” katanya. – Bernama.