KOTA SAMARAHAN: Terdapat sebanyak 55 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah dikenal pasti oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan (JPBB) yang boleh menampung seramai 14,010 mangsa bencana di Samarahan jika dibuka secara serentak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata, banjir merupakan satu fenomena yang membawa kepada tragedi dan biasanya berlaku tanpa dijangka.
“Sehubungan itu, setiap agensi haruslah bersiap siaga bagi menghadapi bencana. Kerjasama semua pihak ketika berlaku bencana amatlah diperlukan bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat disalurkan kepada mangsa bencana dan tiada kehilangan nyawa berlaku,” ujarnya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Latih Amal & Simulasi Pusat Permindahan (PPS) Bencana Bahagian Samarahan di Balai Raya Kampung Merdang Lumut pada Isnin.
Beliau menambah, dalam menghadapi bencana banjir, tugas dan tanggungjawab agensi yang terlibat semasa bencana seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) serta sukarelawan diperlukan bagi memastikan pengurusan PPS berkesan semasa menguruskan bencana.
Tegas beliau lagi, Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat berperanan penting di peringkat awal bencana, hendaklah berwaspada terhadap perubahan cuaca dan segera memaklumkan kepada Pejabat Daerah bagi kawasan yang mengalami banjir dan membekalkan senarai penduduk bagi memudahkan pendaftaran di PPS.
Seramai 170 orang telah menyertai Latihan Amal dan Simulasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Daerah Samarahan anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan dengan kerjasama Pejabat Daerah Samarahan.
Hamzah turut menekankan pogram seperti ini adalah sebagai persediaan rapi kepada semua pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi terlibat supaya dapat bersiap siaga menggalas tugas dengan cekap, bersepadu dan berkesan di PPS.
Menurut laporan kesiapsiagaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fasa peralihan Monsun akan bermula pertengahan September sehingga November tahun ini.
Turut hadir, Mantan Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang, Pegawai Daerah Samarahan Anuaar Da’an dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Morshid.