54 sekolah rendah, sembilan sekolah menengah di Bintulu, Tatau dan Sebauh ditutup akibat jerebu

Facebook
WhatsApp
SEKOLAH ditutup sementara akibat jerebu. Foto janaan AI

BINTULU: Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan PPD Tatau/Sebauh ditutup sementara selama lima hari susulan keadaan jerebu yang menyebabkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada pada paras tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam kenyataan rasmi bertarikh 5 September 2026 hari ini memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa dari 7 hingga 11 September 2026.

Ia melibatkan 22,476 murid sekolah rendah dan 17,268 murid sekolah menengah.

Menurut kenyataan itu, keputusan penutupan dibuat berdasarkan pemantauan berterusan serta bacaan IPU yang direkodkan setakat 8.00 malam, selain mengambil kira kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid.

JPN berkata, cuaca panas yang melanda negara turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan,” menurut kenyataan tersebut.

Oleh Faizah Muzidi