BELADIN: Peningkatan jumlah penerima Insentif Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin tahun ini membuktikan budaya kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar di kawasan itu semakin berkembang.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, jumlah penerima insentif meningkat kepada 52 penerima tahun ini berbanding 40 penerima tahun lalu, sekali gus menyaksikan nilai keseluruhan insentif yang disalurkan bertambah daripada RM8,800 kepada RM15,800.

Menurutnya, peningkatan itu bukan sahaja memperlihatkan lebih ramai pelajar memperoleh keputusan cemerlang, malah menjadi petunjuk bahawa usaha berterusan semua pihak dalam memartabatkan pendidikan mula membuahkan hasil.
“Di sebalik setiap keputusan peperiksaan, ada kisah perjuangan pelajar yang gigih mengulang kaji, guru yang berkorban masa mengadakan kelas tambahan serta ibu bapa yang sanggup berkorban demi memastikan anak-anak terus mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM, sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sumbangan Bengkel Kecemerlangan SPM di SMK Beladin, di sini hari ini.
Mohamad Shafizan berkata para penerima insentif perlu melihat penghargaan yang diterima bukan sekadar sebagai ganjaran, sebaliknya amanah untuk terus menuntut ilmu, mencapai kejayaan dan mengharumkan nama Beladin serta Batang Lupar pada masa hadapan.
Beliau turut memuji komitmen kerajaan Sarawak yang terus menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri melalui pelbagai inisiatif termasuk pendidikan tinggi percuma secara berperingkat di institusi milik kerajaan negeri, bantuan kewangan kepada pelajar, bantuan komputer riba, bantuan tiket penerbangan, biasiswa serta pelbagai bentuk sokongan pendidikan lain.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa segala bantuan yang disediakan kerajaan perlu disertai dengan disiplin, kesungguhan dan kerja keras kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan.
Dalam pada itu, Mohamad Shafizan merakamkan penghargaan kepada warga pendidik atas pengorbanan mereka membimbing pelajar, sambil mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada PIBG bagi memperkukuh kerjasama antara sekolah dan ibu bapa serta RM9,000 untuk pelaksanaan Bengkel Kecemerlangan SPM.
Beliau berkata Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar juga akan terus menyediakan insentif kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sebagai usaha memastikan sokongan terhadap pendidikan diteruskan sehingga mereka berjaya membina kerjaya.
Selain itu beliau turut menggesa anak-anak Batang Lupar kembali menyumbang kepada pembangunan komuniti apabila mencapai kejayaan kelak.
Oleh Adi Safarman



