KUCHING: Seramai 50 pemandu pelbagai jenis kenderaan ditangkap atas kesalahan memandu kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan dibawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi tempoh dari 1 Januari sehingga 6 Jun lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu, semua tangkapan tersebut dibuat dalam 31 operasi mabuk yang dijalankan di bandar utama di Sarawak.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, sebanyak 45 kes atau 90% kes dituduh di mahkamah dan semuanya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman manakala selebihnya masih menunggu arahan dari Pejabat Peguam Negara Negeri Sarawak untuk tindakan pertuduhan,“ kata Alexson dalam satu kenyataan.
Bagi tempoh yang sama tahun lepas, sebanyak 107 tangkapan dibawah Sekyen 45A APJ 1987 telah dibuat dalam 73 operasi mabuk yang telah dijalankan.
Semua kes tersebut telah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
“Jumlah tangkapan kes mabuk dibawah Sekyen. 45A APJ 1987 bagi tahun ini dari Januari hingga Jun menunjukkan penurunan berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu menurun sebanyak 57 kes atau 53.3%.
“Namun, tiada kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk direkodkan setakat ini di Sarawak,” ujar Alexson.
Oleh Connie Chieng