49 individu positif dadah dalam Operasi Perdana AADK Bintulu

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTULU: Seramai 49 individu, termasuk seorang wanita mengandung dan seorang remaja bawah umur, dikesan positif dadah menerusi Operasi Perdana Bil. 3/2026 yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bintulu di beberapa lokasi tumpuan sekitar daerah ini pada Jumaat lalu.

Operasi bersepadu itu melibatkan lapan lokasi, iaitu Jalan Bintulu-Sibu, Kampung Dato, Kampung Baru, kawasan rumah setinggan Bukit Nyabau, Kampung Jepak, rumah pekerja di Jalan Bintulu-Miri, PPR Bandaria Park serta Kampung Penan Muslim Batu 10.

Seramai 16 anggota AADK yang terdiri daripada empat pegawai dan 12 anggota terlibat dalam operasi tersebut bagi mengesan kes baharu dan kes berulang penyalahgunaan dadah, di samping menyiasat aduan keluarga serta aduan awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Sepanjang operasi dijalankan, kesemua 49 individu yang diperiksa dibawa menjalani ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah.

Daripada jumlah itu, 40 individu dikesan positif methamphetamine atau syabu, lapan individu positif ketum, manakala seorang lagi didapati positif tetrahydrocannabinol.

Menurut AADK, semua individu terbabit telah diambil tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk menjalani proses penilaian bagi menentukan bentuk intervensi rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.

AADK turut menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi pengesanan, penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan secara berterusan bagi membendung penyalahgunaan dadah serta melindungi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah atau memerlukan khidmat nasihat dan bantuan boleh menghubungi talian bebas tol AADK di 1-800-22-2235 atau WhatsApp 019-626 2233.

Oleh Faizah Muzidi