46 penduduk Kampung Triso Darat terima surat hak milik tanah

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MALUDAM: Seramai 46 penduduk Kampung Triso Darat menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak dalam satu majlis yang disifatkan sebagai detik bersejarah selepas menunggu sejak 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata penyerahan surat hak milik itu memberi jaminan pemilikan yang sah di sisi undang-undang, sekali gus menjadi aset dan warisan bernilai kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sistem pentadbiran tanah demi kepentingan rakyat.

GAMBAR KENANGAN… Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Patricia Ngu Ming Hung pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Kampung Triso Darat, Maludam. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Katanya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelbagai pembaharuan termasuk penggunaan teknologi digital telah dilaksanakan bagi mempercepatkan urusan penyukatan, pewartaan dan pengeluaran hak milik tanah.

“Usaha itu membuktikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja merancang dasar, malah melaksanakannya sehingga memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi Kampung Triso Darat, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Turut hadir Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, dan Pemangku Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Patricia Ngu Ming Hung.

SATU LAGI PENCAPAIAN… Sebahagian daripada 46 penduduk Kampung Triso Darat yang menerima Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak, sekali gus mengesahkan pemilikan tanah secara sah. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Dayang Noorazah turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong atas komitmen melaksanakan penyukatan, semakan tuntutan, sesi dialog serta penyediaan dokumen sehingga majlis berkenaan dapat direalisasikan.

Beliau berkata proses pengukuran di Kampung Triso Darat dilaksanakan secara teliti dengan mengambil kira keadaan sebenar di lapangan.

Katanya, konsep kampung tradisional dikekalkan bagi memastikan identiti dan susun atur penempatan sedia ada tidak terjejas, manakala lot yang mempunyai rumah diberikan hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Lot yang masih kosong pula akan disukat apabila pembangunan kediaman dilaksanakan pada masa hadapan, selaras dengan keperluan komuniti setempat.

“Sebagai ADUN Lingga, saya akan terus bekerjasama dengan Ahli Parlimen Batang Lupar bagi membawa pelbagai keperluan rakyat untuk memastikan lebih banyak pembangunan dan kemudahan asas dapat dilaksanakan.

“Kestabilan politik dan tadbir urus yang baik membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Beliau berharap semangat perpaduan dan kerjasama antara kerajaan dengan rakyat terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Oleh Adi Safarman