SHEILA ZAIDI
KUCHING: Seramai 46 orang individu telah ditangkap polis kerana ingkar Perintahan Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh 24 jam antara jam lapan pagi Isnin hingga dan lapan pagi semalam.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, daripada jumlah ini, 12 orang ditangkap di Miri, sembilan di Kuching, Sibu (lapan), Saratok (tiga), Padawan, Kota Samarahan, Sri Aman, Limbang, Dalat masing-masing dua manakala seorang ditangkap masing-masing di Bintulu, Serian, Lawas dan Sarikei.
“Sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac sehingga semalam, jumlah tangkapan di Sarawak mencecah angka 276 orang.
“Dalam tempoh yang sama, seramai 83 orang telah didakwa di mahkamah seluruh negeri,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Dev, daripada jumlah tersebut, 31 orang didakwa di Sibu, Padawan (13), masing-masing tujuh di Miri dan Dalat, enam orang masing-masing di Sarikei, Lawas, Matu-Daro, Kuching (empat), Kota Samarahan (dua) dan seorang di Bintulu.
Tambahnya, daripada jumlah berkenaan juga, 66 orang telah mengaku salah manakala 17 orang lagi tidak mengaku salah.
54 orang daripada mereka yang mengaku bersalah telah dikenakan hukuman penjara antara satu hingga empat bulan manakala 12 orang telah didenda antara RM1,000 hingga RM2,000 ujarnya.
Beliau menegaskan kepada orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di luar adalah dinasihatkan supaya mematuhi PKP dan duduk sahaja di rumah.
Mereka yang ditangkap kerana ingkar jika sabit kesalahan akan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya, katanya. Manakala bagi Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020) boleh denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.