SIBU:Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya tiga buah Program Pembudayaan Norma Baharu Putuskan Rantaian Covid-19 di setiap daerah.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Suriani Dato’ Ahmad berkata, kementeriannya menganggarkan kira-kira 153 daerah di seluruh Malaysia dan akan merangkumi sebanyak 459 sasaran program seumpama itu di seluruh negara.
“Program ini bermula pada hari ini (15 September) dan akan berakhir sehingga 31 Disember 2020. Bermula daripada tarikh tersebut kami akan mendekati komuniti. Sekiranya diperlukan, kami akan teruskan program ini,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut di Rumah Akat Akong, Penasu, Selasa lalu.
Menurutnya, Rumah Akat Akong dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program tersebut
bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
“Rumah panjang ini menjadi lokasi pertama untuk memulakan aktiviti. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan kami bagi melaksanakan program taklimat serta ceramah.
“Program ceramah bertujuan mendidik masyarakat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha untuk memastikan penularan wabak terbabit terkawal,” ujarnya.
Buat masa ini, katanya, mereka membudayakan norma baharu seperti yang telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos di Pagoh.
“Selain itu, kita memulakan program dengan memasuki kampung-kampung dan bertemu dengan komuniti , dimana ketua-ketua kampung dan komuniti memainkan peranan bersama menyampaikan maklumat ini kepada penduduk tempatan,” ujarnya lagi.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri, Christopher Romeo Tegong serta yang lain.
Oleh Akun Giman