TANJUNG MANIS: Sebanyak 41 sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis bakal menerima satu atau dua unit TV pintar bersaiz 65 inci bagi memperluas penggunaan teknologi dan mewujudkan persekitaran pembelajaran digital yang lebih interaktif.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, sumbangan menerusi Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis tersebut akan diagihkan secara berfasa dengan jumlah unit diterima setiap sekolah bergantung kepada bilangan pelajar.
“Atas kesedaran dan keperihatinan tersebut, Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis akan menyumbangkan satu atau dua unit Smart TV bersaiz 65 inci kepada setiap daripada 41 sekolah, bergantung kepada jumlah pelajar sekolah dan akan diagihkan secara berfasa.
“Jumlah sekolah dalam Fasa 1 adalah 25 sekolah dan selebihnya 16 sekolah akan menerima dalam Fasa 2 sebelum hujung tahun nanti,” katanya ketika menjawab pertanyaan media, semalam.
Katanya, inisiatif tersebut mengambil kira perkembangan pesat teknologi yang turut mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Di dalam era digital yang berkembang pesat ini, bidang pendidikan menuntut kita untuk memanfaatkan teknologi terkini.
“Proses pembelajaran tidak lagi terhad kepada buku teks dan papan tulis semata-mata, malah liputan visual serta multimedia interaktif kini menjadi pemangkin utama dalam menarik minat serta meningkatkan kefahaman murid,” katanya.
Tambahnya, kemudahan TV pintar tersebut diharap dapat membantu sekolah menyediakan persekitaran pembelajaran berasaskan bilik darjah digital, sekali gus memberi ruang kepada guru memanfaatkan kandungan pendidikan secara lebih berkesan.
“Sumbangan ini diharap akan dapat menyokong usaha murni warga sekolah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang berasaskan bilik darjah digital.
“Saya juga berharap sumbangan ini akan dapat membantu para guru dalam menyampaikan bahan pengajaran berasaskan digital, video interaktif dan aplikasi pembelajaran terkini dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Penggunaan kemudahan tersebut, katanya, turut berpotensi menjadikan proses PdP lebih menarik menerusi penggunaan bahan visual dan multimedia interaktif di dalam bilik darjah.
“Ia juga akan dapat menarik minat dan tumpuan pelajar semasa proses PdP di dalam bilik darjah,” katanya.
Inisiatif tersebut sekali gus memperluas akses sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis kepada kemudahan teknologi pendidikan bagi menyokong kaedah pembelajaran yang selari dengan perkembangan digital semasa.
Oleh Earl Anek




