
LUNDU: Seramai 41 pemilik tanah menerima pampasan berjumlah RM403,618.75 bagi pengambilan tanah untuk Projek Menaik Taraf Jalan Masuk ke Lundu dalam majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Mahligai Gading, di sini, hari ini.
Sebanyak 46 keping cek pampasan disampaikan kepada penerima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Azizul Annuar Adenan sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan projek infrastruktur berkenaan.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching, Awang Nazri Awang Sapri berkata, projek tersebut telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 20 Mei 2025.
Menurutnya, projek itu melibatkan pengambilan 38 lot tanah dengan keluasan keseluruhan 8,697.8 meter persegi.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 24 lot merupakan tanah berhak milik, enam lot Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), lima lot Tanah Rizab Komunal Bumiputera (NCL) dan tiga lot Tanah Kerajaan Berdaftar (SL).

Sementara itu, Azizul berkata projek menaik taraf jalan masuk ke Lundu merupakan antara agenda pembangunan utama yang dikenal pasti menerusi sesi makmal pembangunan DUN Tanjong Datu pada 2021.
Menurut beliau, projek berkenaan penting bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di laluan masuk ke pekan Lundu, khususnya di kawasan yang masih menggunakan jalan satu lorong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pemilik tanah yang memberikan kerjasama dalam melancarkan proses pengambilan tanah sehingga projek dapat diteruskan.
Katanya, penyerahan pampasan itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan setiap proses pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan awam dilaksanakan secara telus, teratur dan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tanah Sarawak.
Turut hadir Penolong Pengarah Penilaian Jabatan Tanah dan Survei, Alfian Bawi, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Wan Fauzi Wan Ismail.