
KUCHING: Kerajaan negeri bakal melaksanakan projek perumahan baharu bagi menempatkan penduduk dari tujuh kampung di kawasan Tabuan sebagai sebahagian daripada perancangan pembesaran jalan yang terhalang akibat kepadatan penempatan sedia ada.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pembinaan skim perumahan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
“Jalan yang sedia ada terlalu sempit, dan untuk membesarkannya, kita perlu lakukan pemindahan penduduk terlebih dahulu.
“Kawasan Tabuan sudah terlalu padat, dan melibatkan tujuh kampung dan ada tanah di sini dimiliki syarikat swasta, menjadikan proses ini lebih rumit.
“Antara langkah penyelesaian terbaik adalah menyediakan perumahan berbentuk apartmen supaya lebih banyak unit dapat dibina dalam kawasan yang terhad,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Zon Tabuan di Masjid Darul Sa’adah, Kampung Tabuan Hilir, hari ini.
Sementara itu, Penghulu Tabuan Melayu, Amzah Dollah memaklumkan bahawa satu projek apartmen 10 tingkat melibatkan 200 unit kediaman kini sedang dibangunkan di hujung Kampung Tabuan Selipar Putus.
“Fasa pertama dijangka siap pada Jun 2027. Selepas itu, dua blok tambahan akan dibina menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 400 unit menjelang 2029.
“Unit-unit itu akan ditawarkan kepada penduduk yang belum memiliki rumah, termasuk mereka yang menumpang di rumah bapa, tinggal di atas tanah orang lain, atau menetap di tepi sungai.
“Hasil bancian semasa, lebih 1,000 penduduk dari tujuh kampung di kawasan Tabuan Melayu dikenal pasti masih belum memiliki kediaman sendiri dan kita telah rujuk perkara ini kepada ADUN Demak Laut dan keutamaan akan diberikan kepada pengundi di Tabuan Melayu dan Demak Laut,” jelasnya.
Tambah beliau, selain projek apartmen di Selipar Putus, satu lagi skim perumahan di Muara Tabuan, iaitu Rumah Spektra Permata (RSP), turut sedang dirancang.
“Tanah di kawasan itu belum stabil, jadi kerja pembinaan hanya akan bermula sekitar Jun 2027 hingga 2029.
“Rumah ini dikhaskan untuk penduduk Tabuan yang tidak ada rumah atau harta.
“Satu perancangan jangka panjang juga sedang diusahakan untuk mewujudkan perumahan tambahan di kawasan Tanjung Bako bagi menampung permintaan tinggi dari penduduk asal Tabuan Melayu dan sekitarnya,”ujarnya.
Oleh Masrin Affirah