BINTANGOR: Dalam usaha meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan komuniti rumah panjang, pihak bomba telah mengadakan ceramah kesedaran keselamatan kebakaran di Rumah Nicholas Abu Seman, Telok Panjar, Sungai Selidap.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang dijalankan pada Sabtu lalu disertai oleh 40 peserta yang terdiri daripada penduduk rumah panjang tersebut.
“Pendidikan awal mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran adalah sangat penting, terutama bagi komuniti di kawasan luar bandar.
“Kami ingin memastikan komuniti seperti di rumah panjang ini memahami risiko kebakaran dan tahu bagaimana untuk bertindak sebagai ‘first responder’ sekiranya berlaku kecemasan.
“Pendidikan ini amat penting kerana setiap saat berharga ketika menghadapi situasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, ceramah tersebut juga memberi fokus kepada elemen 3L iaitu ‘Lupa, Leka, Lalai’ yang sering menjadi punca kebakaran, selain elemen 3P iaitu ‘Pencegahan, Pengawasan, Perlindungan’ sebagai langkah proaktif untuk mengurangkan risiko insiden kebakaran.
“Peserta turut diberi pendedahan mengenai tatacara pemadaman kebakaran dapur dan penggunaan alat pemadam api yang betul.
Antara pengisian menarik adalah sesi pengenalan tatacara penubuhan Bomba Komuniti dan Bomba Sukarela, yang menurut Mahmudin, berperanan penting dalam mewujudkan komuniti yang lebih bersedia menghadapi kecemasan.
“Kita mahu komuniti menjadi lebih berdaya tahan…dengan adanya Bomba Komuniti atau Bomba Sukarela, mereka bukan sahaja mampu bertindak pantas tetapi juga dapat membantu mengurangkan kerosakan dan kehilangan nyawa,” tambahnya.
Katanya, aktiviti berjalan dengan lancar dan penuh interaksi tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Oleh Earl Anek