
MIRI: Seramai 40 peserta dari pelbagai unit Pejabat Imigresen Bahagian (PIB) Miri telah menyertai Kursus Pengurusan Stres Di Tempat Kerja di sini kelmarin.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, kursus yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 5. 00 petang itu merupakan salah satu inisiatif di bawah POL 2025 bertujuan melengkapkan warga kerja dengan kemahiran menguruskan tekanan.
Katanya, para peserta telah mengambil bahagian secara aktif pada sesi ceramah interaktif serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang telah dikendalikan dengan jayanya.
“Objektif utama kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, memberi pengalaman praktikal, serta membangkitkan motivasi dalam kalangan peserta untuk menangani stres di persekitaran kerja.
“Penceramah jemputan adalah merupakan seorang Pegawai Psikologi dari Hospital Miri, Mas Jali yang berkongsikan pelbagai teknik dan strategi yang berkesan untuk mengenal pasti punca stres dan menguruskannya secara positif,” jelasnya.
Katanya, sesi yang menarik ini pastinya memberi nilai tambah kepada semua yang hadir.
Majlis penutup kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Imigresen Bahagian Miri, Fandy Ahmad, yang turut menyampaikan cenderahati kepada Mas Jali sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan perkongsian ilmu beliau.
Oleh Adum Liu