MIRI: Sebanyak 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Ops Motosikal di sekitar kawasan Taman Tunku, di sini semalam.
Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu dijalankan dari 5.00 petang hingga 10.00 malam dengan tumpuan di kawasan perumahan Taman Tunku, Jalan Taman Tunku dan Jalan Taman Jelita.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan seramai 45 lelaki dan tujuh wanita diperiksa bersama 38 motosikal.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan dan sebanyak 71 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dikesan.
“Antara kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook Polis Daerah Miri hari ini.

Menurut beliau, polis turut mengesan kesalahan seperti tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’ serta kesalahan teknikal lain.
Katanya, operasi itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya selain mengganggu ketenteraman awam.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling





