Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • 3,708 individu di Sarawak dapat PDL B2 melalui MyLesen JPJ
  • SEMASA

3,708 individu di Sarawak dapat PDL B2 melalui MyLesen JPJ

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau Kiong Yien (kiri) menyampaikan replika Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kelas B2 kepada perserta paling senior, Luang Lalo, 72, pada majlis penutupan Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) bagi Parlimen P211 Lanang di Dewan SMK Scared Heart , hari ini. -Foto Bernama

SIBU: Sebanyak 3,708 individu daripada golongan B40 di Sarawak berjaya memperoleh Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kelas B2 melalui Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) yang dianjurkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak sejak awal tahun ini.

Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata jumlah itu termasuk 1,650 peserta dari kawasan Parlimen Lanang yang telah menamatkan program tersebut dan menerima lesen masing-masing hari ini.

“Pada tahun lepas, 13,370 peserta berjaya memperoleh lesen memandu kelas B2 melalui program sama yang dilaksanakan bermula awal 2024. 

“Tahun ini, lebih banyak program seumpamanya akan diadakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai individu yang layak,” katanya semasa majlis penutupan program yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Lanang Alice Lau.

Norizan berkata program MyLesen merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat Kementerian Pengangkutan melalui JPJ untuk membantu rakyat berpendapatan rendah mendapatkan lesen motosikal kelas B2 pada kos yang minimum.

Beliau berkata peserta turut diberikan latihan dan kesedaran mengenai disiplin serta pematuhan undang-undang jalan raya bagi memudahkan urusan harian dan meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

“Inisiatif ini seiring aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta agar menjadi pemandu berdisiplin dan berhemah serta mematuhi segala peraturan jalan raya selain memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ JPJ.

“Mereka boleh ambil gambar kenderaan yang memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan muat naik ke aplikasi MyJPJ. Pihak JPJ akan mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Waspada Monsun Barat Daya, elak pembakaran terbuka, jimatkan air
Next: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan selamat Hari Ibu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.