KUCHING: Sebanyak 354 daripada 600 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) telah beroperasi setakat ini, dan bakinya 246 menara dijangka beroperasi pada suku keempat 2025.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, melalui usaha itu kementeriannya yakin dan percaya rakyat akan menikmati akses internet yang lebih pantas dan meluas.
“Langkah ini akan meningkatkan komunikasi dan capaian digital terutamanya di kawasan terpencil dengan penambahan menara yang sedang dibina secara berperingkat,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Jelajah Saya Digital (JSD) @ Kuching di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalannya Datuk Liwan Lagang pada program itu yang diadakan di Plaza Merdeka, di sini.
Julaihi berkata kementeriannya memainkan peranan utama dalam memastikan bahawa Sarawak terus berkembang maju melalui penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi yang baik.
“Melalui program ini (Jelajah Saya Digital @ Kuching), saya percaya ia dapat mempamerkan pencapaian serta merangka strategi baharu untuk menghadapi cabaran masa depan dalam era digital.
“Saya percaya bahawa dengan kerjasama yang padu semua pihak, kita dapat mencipta peluang baru, meningkatkan akses kepada teknologi, dan memastikan setiap individu di Sarawak mendapat manfaat daripada kemajuan digital,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN
Gambar hiasan