3,500 perwakilan dijangka hadiri Konvensyen PBB Zon Utara di Miri

Facebook
WhatsApp
MESYUARAT PERSIAPAN... Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Datuk Gerawat Gala pada mesyuarat kedua persiapan Konvensyen PBB Zon Utara.

MIRI: Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara yang dijadualkan berlangsung pada 13 September di Miri dijangka menghimpunkan lebih 3,500 perwakilan sebagai platform memperkukuh perpaduan parti serta kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya negeri.

Perwakilan akan bersidang di Stadium Tertutup Miri, manakala majlis perasmian konvensyen itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perkara itu diumumkan Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Pengerusi Konvensyen PBB Zon Utara selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kedua konvensyen berkenaan hari ini.

Beliau berkata, perwakilan terdiri daripada wakil bahagian, Wanita, Pemuda dan Belia daripada 18 cawangan PBB di Belaga, Bintulu, Miri, Marudi, Limbang, Lawas dan Ba’kelalan.

“Konvensyen ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkukuh akar umbi parti di Zon Utara, selain memastikan perwakilan memahami dasar kerajaan serta perjuangan parti, di samping memperkukuh solidariti dan perpaduan,” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi Konvensyen Zon Utara Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Konvensyen Zon Utara, Datuk Awang Bujang Awang Antek serta Setiausaha Eksekutif PBB, Datu Takun Sunggah.

Konvensyen PBB Zon Utara merupakan sebahagian daripada siri konvensyen zon yang diadakan di seluruh Sarawak tahun ini.

Konvensyen Zon Tengah telah berlangsung pada Julai lalu dipengerusikan Dato Sri Alexander Nanta Linggi, diikuti konvensyen Zon Betong pada Ogos yang dipengerusikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Sementara itu, Konvensyen Zon Selatan akan dipengerusikan Datuk Amar Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Pendekatan konvensyen secara zonal itu bertujuan memastikan persiapan parti dilaksanakan secara tersusun dan lebih awal, selain memberi ruang kepada setiap bahagian menggerakkan perwakilan serta menyelaras keperluan logistik.

Ia turut dijangka memperkukuh koordinasi jentera parti di seluruh negeri, selain meningkatkan penyertaan anggota akar umbi menjelang perkembangan politik negeri.

Antara objektif utama konvensyen zonal ialah memperkukuh perpaduan parti dan kekuatan akar umbi, selain menyelaras hala tuju pembangunan wilayah, pelan infrastruktur serta strategi ekonomi di setiap zon di Sarawak.

Oleh Adeng Edrus

Sarawak anjur IDECS 2026 Oktober ini

KUCHING: Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 yang kesembilan akan berlangsung pada 5 hingga 6 Oktober ini di Pusat