
KUCHING: Seramai 350 petinju mewakili 31 kelab dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk lima negara luar mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Muay Thai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Piala Borneo 2026.
Kejohanan edisi ke-10 itu bermula hari ini hingga Ahad di Tebingan Sungai Kuching, menampilkan saingan sengit melibatkan kategori amatur, semi profesional dan profesional.
Penyertaan antarabangsa membabitkan Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei Darussalam sekali gus mengukuhkan status kejohanan itu sebagai acara berprestij di rantau Asia Tenggara.
Kejohanan tersebut turut menjadi platform penting dalam mempersiapkan atlet Sarawak menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor, Ogos depan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut sebagai langkah strategik dalam memperkukuh serta mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja mengangkat sukan muay thai, tetapi turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
“Kita mahu Sarawak terus menjadi pusat penganjuran sukan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik penyertaan lebih ramai atlet dari luar negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, Sarawak kini semakin dikenali sebagai antara negeri pengeluar atlet bertaraf dunia, termasuk beberapa nama yang pernah menyerlah di pentas antarabangsa seperti Jojo, Miki dan Texas Jeremy Lo.
Kesemua mereka pernah beraksi dalam kejohanan ini sekali gus membuktikan ia kekal relevan sebagai medan mencungkil bakat baharu.
Selain pertarungan muay thai, penganjuran turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pertandingan e-sukan, persembahan seni bela diri serta perlawanan gusti hiburan melibatkan penggusti tempatan.

Perlawanan muaysport bermula seawal 8.00 pagi dan bersambung pada sebelah petang, manakala aksi semi profesional serta profesional berlangsung pada waktu malam sepanjang kejohanan.
Turut diadakan Seminar Beladiri Wanita dan Riadah Santai Muay Thai Piala TYT 2026 pada Ahad bagi memeriahkan acara.
Kejohanan kali ini memperkenalkan kategori baharu ‘tag team’ lima sepasukan bagi merebut Piala Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), selain Piala TYT dan Piala Borneo.
Kemuncak penyampaian Piala TYT dijadual berlangsung pada malam Sabtu, manakala juara keseluruhan Piala Borneo diumumkan pada Ahad sebagai penutup tirai kejohanan.
Oleh Norman B