34 etnik Sarawak aset pelancongan bernilai tinggi – Snowdan

Facebook
WhatsApp
DATUK Snowdan Lawan berucap pada Pelancaran Rasmi Miss Tourism Sarawak 2026 di Kuching.

KUCHING: Kepelbagaian 34 suku kaum yang diwartakan di Sarawak merupakan aset pelancongan bernilai tinggi yang perlu dipelihara dan dipromosikan kepada khalayak lebih luas.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, generasi muda perlu mengenali kepelbagaian suku kaum di Sarawak agar warisan berkenaan terus dipelihara dan diketengahkan kepada dunia.

“Kepelbagaian itu merangkumi pelbagai subetnik yang kurang dikenali, termasuk Kiput, Bakatan dan Sekapan.

“Keunikan Sarawak bukan sahaja terletak pada etnik utama, malah turut merangkumi bahasa, makanan tradisional, pakaian, tarian, seni dan tradisi yang diwarisi turun-temurun.

SIMBOLIK Pelancaran Rasmi Miss Tourism Sarawak 2026 disempurnakan oleh Datuk Snowdan Lawan di Kuching.

“Semua ini merupakan aset pelancongan yang amat bernilai,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Rasmi Miss Tourism Sarawak 2026, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Miss Tourism Sarawak boleh menjadi platform untuk membawa kepelbagaian budaya dan tradisi Sarawak sebagai sebahagian daripada identiti utama pelancongan negeri.

“Para finalis Miss Tourism Sarawak bukan sekadar membawa gelaran pertandingan, sebaliknya berperanan sebagai duta yang membawa cerita mengenai Sarawak apabila berada di luar negeri, termasuk kepelbagaian budaya dan warisan yang dimiliki.

“Platform itu perlu dimanfaatkan untuk memperkenalkan identiti Sarawak kepada dunia, termasuk melalui kandungan berkaitan suku kaum, budaya dan tradisi negeri yang boleh diketengahkan dalam strategi promosi pelancongan,” jelasnya.

RAKAMAN gambar kenangan pada Majlis Pelancaran Rasmi Miss Tourism Sarawak 2026 di Kuching.

Untuk rekod, Miss Tourism Sarawak 2026 diperkenalkan sebagai platform pembangunan duta pelancongan yang menggabungkan elemen pelancongan, budaya, warisan, pembangunan bakat muda, komunikasi, kreativiti dan promosi Sarawak.

Edisi tahun ini menampilkan 17 finalis tempatan serta lima delegasi antarabangsa dari Indonesia, Korea Selatan, Bangladesh, Zambia dan Republik Czech yang menyertai program sebagai Non-Competing International Delegates bagi menggalakkan pertukaran budaya dan jaringan pelancongan antarabangsa.

Keseluruhan perjalanan Miss Tourism Sarawak 2026 turut memberi pendedahan kepada para peserta mengenai budaya, warisan, destinasi dan pengalaman pelancongan Sarawak, sebelum kemuncaknya menerusi Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada 12 September 2026 di Hotel Riverside Majestic, Kuching.

Oleh Masrin Affirah